Friday, December 18, 2009

Tokoh Ulama Dunia Yusuf Al-Qaradawi: Tokoh Maah Hijrah Dunia

Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, hari ini dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009.

Anugerah kali kelapan itu disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sebagai penerima, Yusuf memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. Yusuf adalah ulama, pemikir, sarjana dan merupakan golongan intelek kontemporari pada abad ini.

Dalam ucapannya, tokoh ilmuwan kelahiran Mesir itu berkata, beliau menghargai anugerah yang diberikan kepadanya namun apa yang lebih utama ialah kekagumannya terhadap kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi kebanggaan umat di seluruh dunia.

“Hubungan dan perkenalan saya dengan Malaysia bukanlah baru hari ini atau pun semalam, malah ia adalah satu hubungan yang telah bermula sejak setengah kurun yang lalu. “Saya mempunyai hubungan yang akrab dengan individu, ulama dan institusi di sini,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan.

Menurutnya, beliau telah beberapa kali datang ke negara ini atas jemputan universiti dan masjid-masjid serta berjumpa dengan sebilangan guru-guru selain pelajar-pelajar. “Saya juga telah sampai ke beberapa buah negeri di sini sehingga pernah satu ketika saya dibawa menaiki pesawat tentera bagi memudahkan saya sampai ke negeri yang dilawati dengan lebih cepat.

“Saya juga ada bertemu dengan pihak pemerintah sama ada daripada Umno mahupun PAS serta saya pernah menerima anugerah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” ujarnya.

Menyusuri kisah hidupnya, tokoh ilmuwan ini telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam fiqh al-Zakat pada tahun 1973. Yusuf sangat terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

No comments: